Tahukan anda berapa jenis lampu ada dibahagian luar kereta anda tak
kiralah di depan ke di belakang ataupun di tepi? Dan tahukan anda tujuan dan
gunanya? Saya terangsang menulis kerana melihat ramai pemandu yang menggunakan
lampu kecemasan apabila hujan ataupun apabila memasuki terowong. Jelas mereka
tidak tahu fungsi lampu kecemasan tersebut. Lampu pada bahagian luar kereta anda
mempunyai tugas-tugas dan erti yang khusus iaitu untuk
i) memberi cahaya
supaya anda dapat melihat dengan jelas dalam keadaan yang kurang terang dan
ii)
meningkatkan peluang anda dilihat oleh orang lain.
Pengguna jalan yang lain
dapat mengesan kehadiran anda di atas jalan, dapat tahu posisi anda, saiz anda,
arah, dan juga tujuan anda (jika ada) hendak menukar arah dan juga kelajuan
anda.
Lampu yang harus ada pada
kereta anda adalah seperti berikut;
Lampu-lampu kereta semuanya mempunyai fungsi berlainan dan
ianya berwarna lain dan juga berkuasa tidak sama. Kelainan ini memastikan kita
boleh memberi isyarat kepada pengguna jalan yang lain memahami isyarat yang
diberi.
Tapi adakah cahaya dan warna sudah cukup? Tidak, ianya perlu diposisi
yang sudah ditentukan supaya semua tahu apa yang bercahaya itu.
i) menyuluh jalan dihadapan semasa
penglihatan kurang jelas akibat malam, kabus, habuk dan sebagainya dan
ii)
membolehkan pengguna jalan yang lain tahu tentang kewujudan anda di atas jalan.
Lampu Rendah
Diguna
pada cuaca yang memudaratkan penglihatan. Cahaya dari lampu ini condong kebawah
dan kuasanya hanya 55 watt sahaja. Lampu in digunakan apabila ada kenderaan
di hadapan anda. Ada
sesetengan pemandu sengaja tidak menggunakan lampu rendah tetapi terus mengguna
lampu tinggi, perangai ini bukan sahaja menyilaukan pemandu di hadapan tetapi
kemungkinan ia bertembung dengan anda kerana kilauan dari lampu anda sendiri.
Jadi bertimbang rasalah terhadap pengguna lain dan juga diri anda ataupun
keluarga anda yang ada didalam kereta. Kerana jika kemalangan, anda juga akan
rugi.
Lampu Tinggi
Lampu tinggi ataupun
lampu utama memberi cahaya yang ditujukan ke hadapan dan limpahan cahaya agak jauh
supaya pemandu boleh menjangkakan pemanduan dengan selesa. Oleh kerana lampu
ini boleh menyilaukan pemandangan pemandu lain terutama mereka yang datang dari
arah bertentangan ia harus diguna apabila tiada kenderaan lain di hadapan.
Lampu pemanduan adalah
lampu kecil yang menyala semasa suis lampu dipasang. Ini mungkin dalam bentuk
mentol kecil yang dipasang dalam Lampu Besar atau pun sebagai unit berasingan.
Di negara kita dan negara-negara komonwel ianya berwarna putih tetapi di
beberapa negara lain ianya berwarna oren.
Lampu Undur
Lampu undur adalah antara 2 lampu berwarna putih yang diposisikan
di belakang kereta. Yang lagi satu ialah lampu nombor plet. Lojiknya senang,
apabila seseorang melihat lampu putih bermakna kenderaan tersebut berjalan
menuju anda tetapi bila ini dilihat bersama lampu merah belakang ianya bermakna
kereta tersebut sedang undur.
Lampu
Brek
Lampu ini terletak di belakang di kedua-dua tepi
belakang kereta. Ianya berwarna merah. Lampu brek biasanya sekali dengan lampu
belakang. Seperti lampu besar yang ada dua filamen dalam satu mentol, begitu
juga dengan lampu brek. Mentol lampu brek ada dua filamen. Filamen yang lebih
berkuasa adalah untuk lampu brek. Tak perlu risau jika terpasang salah kerana
ianya cuma boleh dipasang satu cara sahaja.
Di Malaysia dan beberapa negara
maju lampu brek ketiga wajib di pasang. Lampu brek ketiga dipasang pada aras
yang lebih tinggi dan di tengah bahagian belakang. Biasanya ia dipasang di dalam
kereta hampir dengan cermin belakang dan menghala ke belakang. Apabila brek
ditekan ketiga-tiga lampu brek akan menyala.
Ini adalah lampu merah yang dipasang di belakang
kenderaan. Ianya menyala apabila lampu depan di hidupkan. Apabila anda melihat
lampu merah di hadapan bermakna kenderaan tersebut adalah menghala arah yang
sama dengan anda.
Lampu
Nombor Plet
Lampu putih di belakang tetapi hanya untuk menyuluh kearah nombor
pendaftaran kereta.
Lampu
Arah
Lampu ini bertujuan untuk memberitahu pengguna jalan raya lain bahawa
anda akan menukar arah ke kiri atau ke kanan. Isyarat ini diberi dengan
menghidupkannya dan sebelah kiri atau kanan akan berkelip mengikut arah mana
yang dipilih. Secara tradisi lampu ini diletak di keempat-empat bucu kereta.
Apabila kereta hendak ke kiri lampu sebelah kiri depan dan belakang akan
berkelip kelip. Terdapat juga lampu arah ini diposisikan di atas ataupun
dibawah lampu besar. Ini tidak menjadi masaalah.
Beberapa tahun kebelakangan
ini ada beberapa kereta seperti Proton Gen 2, Perodua MYVI and Viva dan Honda
City yang mana lampu arah di depan diposisi dalam antara lampu besar. Sekali
imbas tidak akan menjadi masaalah, tetapi pada hakikatnya lampu arah sebegini
mungkin mendatangkan kemudaratan. Satu kajian di UK mendapati bahawa pemandu yang
melihat lampu arah begini menyala akan mengambil masa yang lebih untuk
mentafsirkan maksud isyarat yang diberi. Ini akan menyebabkan kelewatan seorang
pemandu untuk bertindak dan mungkin membawa kecelakaan.
Penulis sendiri
mengalami situasi mengerunkan apabila bertemu dengan sebuah kereta Viva yang
lampu besar sebelah kiri tidak berfungsi. Dari jauh nampak satu lampu sahaja.
Kemudian berkelip lampu arah Viva tersebut di kiri lampu besar. Jalan ketika itu
gelap dan badan kereta tidak nampak langsung. Apa pandangan anda? Pada penulis,
yang datang dari arah bertentangan, isyarat yang diterima adalah sebuah
motosikal mahu membelok ke kanan penulis. Alangkah
terkejutnya apabila kenderaan tersebut membelok kekiri penulis. Penulis yang penunggang
motosikal terpaksa brek kecemasan dan baru sedar bahawa lampu tersebut
kepunyaan Perodua Viva dan bukan motosikal sebagai sangkaan.
Lampu, baik untuk
lori kereta atau motosikal kesemuanya harus memberi isyarat yang konsisten.
Penulis rasa lampu arah kereta tersebut di atas sangat membahayakan. Bagaimana
ini boleh berlaku tidak diketahui dan pengawal antarabangsa peraturan jalan
UNECE tidak pula ada peraturan tentang posisi pemasangan lampu arah diantara
kedua-dua lampu besar. Bagi keselamatan semua pengguna jalan raya lampu arah harus dipasang di luar kedua-dua lampu besar.
Lampu
Kecemasan
Apabila Lampu Kecemasan diaktifkan, kesemua empat lampu
arah akan berkelip. Isyarat ini adalah untuk memberitahu pengguna lain bahawa
kenderaan tersebut sedang menghadapi masaalah dan jika ada masaalah ia haruslah berhenti supaya tidak membahayakan orang lain. Hari ini lampu kecemasan
merupakan lampu yang paling kerap disalah guna. Ramai diantara kita menggunakan
lampu ini apabila hujan (ini bukan masalah kereta) ataupun apabila masuk
terowong. Di Kuala Lumpur lampu ini selalu digunakan oleh konvoi kenderaan-kenderaan orang kenamaan. Jika ada masalah kereta, takkan sembilan, sepuluh
kereta bermasaalah sekali gus?
Kereta yang digunakan
di kawasan lasak biasanya mempunyai lampu-lampu tambahan untuk membantu
pemanduan di kawasan-kawasan yang banyak cabaran. Lampu-lampu ini mungkin
dipasang di depan ataupun pada batang di atas bumbong kereta.
Lampu Membelok
Sedikit masa dulu ada
kenderaan yang dipasang lampu ini bagi membantu pemandu melihat kawasan di sisi
kereta dengan lebih jelas. Ada
yang diaktifkan melalui suis isyarat dan ada juga melalui stering.
Mentol Berisi Gas
Teknologi mentol berisi
gas telah lama wujud. Lampu-lampu jalan warna oren adalah mentol yang diisi
dengan sodium dan pada kenderaan pula Halogen telah diisi dalam mentol untuk
cahaya lebih. Halogen pada mulanya diisi untuk mengelak mentol menjadi hitam
selepas diguna.
Hari ini terdapat lampu
HID (High Intensity Discharge) yang makin ramai menggunanya. HID menggunakan gas
Xenon untuk meningkatkan cahaya. Lampu HID yang berkuasa 65 watt boleh memberi
cahaya seperti berkuasa 130 watt., tetapi kerana kilauan terlampau lampu ini
tidak dilulus oleh pihak berkuasa.
Lampu HID sangat luas
implikasinya dan akan dibincang pada masa lain. Jika anda hendak tahu lebih
tentang peraturan-peraturan berkenaan lampu ataupun bahagian-bahagian lain
kereta anda boleh merujuk kepada laman United Nations Economic Commission for Europe – Transport Division.